“Sistem pendidikan tiada hala tuju” Guru Pencen Awal Kerana Tertekan, Dedah Sisi Gelap Sistem Pendidikan

Menjadi seorang pendidik bukanlah satu perkara yang mudah bahkan ibarat lilin yang sanggup membakar yang sanggup membakar diri demi menerangi orang lain.

Seperti kisah yang tular baru-baru ini dimana bekas guru bahasa Inggeris, Wan Maizura Kamaruddin yang memilih untuk bersara awal pada 1 September tahun lalu ketika berusia 53 tahun walaupun sepatutnya masih berbaki lagi tujuh tahun mencuri perhatian ramai.

“Saya boleh mengajar dari pagi sampai ke petang tetapi saya tidak akan kembali berkhidmat jika sistem pendidikan tidak diubah”.

Terpaksa Menipu Demi Data Cantik

Memetik laporan Majoriti, dia tidak pernah terbayang untuk bersara awal sehinggalah pada satu ketika keputusan itu dibuat selepas merasakan dirinya tidak mampu mengikuti sistem pendidikan sedia ada.

“Contohnya sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan pemansuhan peperiksaan. Kadang-kadang saya terpaksa menipu dalam memberi markah tahap penguasaan murid walaupun budak itu tidak tahu membaca.“

“Kerana ada pihak yang takut jika kena minta surat tunjuk sebab. Majoritinya menipu demi nak mendapatkan data yang cantik,” katanya

Kebasan Bersuara Disekat

Menurut Wan Maizura, kebebasan bersuara dalam kalangan guru juga seolah-olah disekat kerana perlu selari dengan pendapat pihak tertentu seperti guru besar dan jika tidak, akan ditukar atau diambil tindakan.

Jelasnya, dia pernah bersuara mengenai pihak atasan dan salah laku guru besar tetapi tidak diendahkan malah dia sendiri yang terpaksa menanggung akibat hingga dihantar mengajar ke kelas bawah.

“Bila guru besar dah tak suka saya, apa lagi boleh dibuat. Lebih baik saya berhenti. Bagi saya ketiadaan hak bersuara ini sesuatu yang sangat tidak profesional.”

“Itu belum lagi kerenah birokrasi bila terlalu banyak aktiviti yang ingin dilakukan di sekolah seperti keceriaan kelas dan sebagainya sehingga kami terpaksa guna duit sendiri.”

“Bertahun-tahun kami (guru-guru) terpaksa mengeluarkan duit sendiri untuk aktiviti-aktiviti yang tidak relevan sebaliknya hanya mahu ditunjuk kepada Nazir Sekolah dan pihak jabatan yang datang melawat.”

“Bila kita tanya, kita diminta untuk buat sahaja dan dimomokkan dengan alasan bersedekah dan keberkatan kerja,” katanya mengakui perkara itu menjadi tekanan kepada guru.

Arahan Berubah-ubah

Satu lagi perkara yang disentuh Wan Maizura adalah berkenaan isu arahan berubah-ubah daripada peringkat atas sehingga ke guru.

Jelasnya, bermula daripada arahan dari Kementerian Pendidikan (KPM), turun ke Jabatan Pendidikan Negara (JPN) dan beberapa lagi pihak sehinggalah ke sekolah semuanya berbeza.

“Setiap arahan dari atas bila turun ke bawah semakin bertambah. Saya sifatkan ini dengan istilah ‘little napoleon’ di mana Petunjuk Prestasi Utama (KPI) diubah untuk mengikut KPI yang diperlukan pihak tertentu.”

“Mereka pula yang tentukan KPI untuk kepentingan diri sendiri dan akhirnya guru terpaksa ikut. Jadi keseronokan untuk mengajar itu telah tiada dan ditarik oleh sistem pendidikan sebegini.”

“Saya ini seorang yang ‘gila’ mengajar. Tetapi bila ada arahan bertindih sampaikan kena kerja pada pukul 10 malam, awal pagi kena masukkan data, ini yang kita tak mampu ikut.”

“Kita nak mengajar untuk memanusiakan budak-budak. Kenapa kita nak mengajar mengikut KPI orang tertentu? Mereka hanya mahukan data yang cantik,” katanya yang sebelum ini mengajar di Sekolah Kebangsaan Presint 16(1), Putrajaya.

Berkongsi lanjut, Pegawai Tadbir Daerah (PTD) yang tidak mempunyai asas perguruan yang menetapkan KPI guru, minta lakukan bermacam program semata-mata nak mencapai KPI mereka di kementerian.

Malah, dia sebagai seorang guru lama sudah mempunyai modul pengajaran yang boleh meningkatkan kualiti murid tetapi sayangnya tidak diiktiraf sebaliknya perlu mengikut arahan yang lebih menjurus kepada kepentingan pihak tertentu.

Terpaksa Pencen Awal

Dia juga memaklumkan ramai yang menyimpan hasrat untuk bersara oleh kerana tertekan dengan situasi sekarang namun terpaksa dilupakan gara-gara mempunyai komitmen yang tinggi dan juga isu kewangan.

Seperti dirinya, dia sudah sepatutnya bersara pada usia 60 tahun tetapi disebabkan sudah tidak mampu bertahan dengan sistem pendidikan sekarang, dia terpaksa mengambil tindakan nekad.

“Bila dah tertekan, memang saya sudah tak fikir apa yang akan jadi selepas ini. Mujur saya ada suami yang membantu terutamanya daripada segi kewangan.”

“Cuma bagi mereka yang muda, terpaksalah hadap kerana masih ada bebanan hutang dan komitmen kewangan yang lain.”

“Tetapi apa yang mengecewakan adalah mereka ini terpaksa bertahan dan seakan sudah tidak mempunyai jiwa untuk mendidik,” katanya.

Menurut Wan Maizura, dahulu tidak pernah berlaku perkara sebegini (bersara awal) dan sejak lima ke enam tahu kebelakangan ini isu bersara awal mula berbangkit.

Tambahnya, sistem pendidikan sekarang seperti tiada hala tuju yang membuatkan ramai guru seakan sudah tidak ada jiwa untuk mengajar.

The post “Sistem pendidikan tiada hala tuju” Guru Pencen Awal Kerana Tertekan, Dedah Sisi Gelap Sistem Pendidikan appeared first on YOY Network.



from YOY Network https://ift.tt/N1K2BVU
via IFTTT
loading...

0 Response to "“Sistem pendidikan tiada hala tuju” Guru Pencen Awal Kerana Tertekan, Dedah Sisi Gelap Sistem Pendidikan"

Post a Comment