Uncle Kentang ataupun nama sebenarnya Kuan Chee Heng yang merupakan seorang aktivis masyarakat telah memohon maaf kepada pihak polis.
Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, pihaknya menerima permohonan maaf Chee Heng melalui surat pada 14 Mac lalu.
Sebelum ini Kuan bertindak memuat naik status di laman Facebooknya mengenai kompaun RM10,000 yang diterima pihak ketiga, walhal perkara itu tidak berlaku.
“Beliau (Uncle Kentang) menjelaskan menerima maklumat daripada ibu kepada individu yang mendakwa dirinya dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 dan berharap pihaknya dapat membantu namun hasil siasatan mendapati ia tidak benar.
“Individu berkenaan hanya cuba menipu ibunya dengan mengatakan dikenakan kompaun sebagai alasan untuk tidak mengirim wang,” katanya ketika ditemui pemberita pada Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-214 Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini, hari ini.
Status yang dimuat naik Uncle Kentang menerusi Facebook ‘Kuan Chee Heng’ itu turut dikongsikan laman sosial Facebook bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan mendapat perhatian ramai.
Dalam status tersebut, Chee Heng memuat naik kompaun pelanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikeluarkan di Kampung Rapat di sini pada 14 Mac lalu.
Maklumat dalam status itu mendakwa seorang pembantu tukang masak dikenakan kompaun RM10,000 ketika keluar menerusi pintu belakang restoran berkenaan untuk menghisap rokok, dan dia tidak dapat mengirimkan wang kepada ibunya berikutan terpaksa berhutang dengan pihak restoran bagi membayar kompaun berkenaan selain gajinya turut dipotong untuk membayar hutang.
A Asmadi menjelaskan siasatan oleh pihaknya juga mendapati tiada kompaun seperti didakwa telah dikeluarkan oleh pasukan pemeriksa SOP PKPB dalam kalangan polis daerah Ipoh.
Justeru, katanya orang ramai diminta supaya tidak terus menularkan isu berkenaan kerana ia akan menjejaskan imej dan iltizam pasukan polis untuk memberi perkhidmatan terbaik.
Sebelum ini Uncle Kentang berkata, perkara itu timbul selepas beliau menerima aduan daripada ibu lelaki berkenaan memaklumkan bahawa anaknya dikompaun RM10,000 kerana ingkar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Beliau berkata, wanita berkenaan memohon pertolongannya sebagai aktivis masyarakat untuk memberi pembelaan terhadap tindakan yang dikenakan terhadap anak lelakinya itu.
Bagaimanapun, tindakan lelaki itu ‘kantoi’ selepas isu berkenaan tular di sosial media, dan siasatan polis mendapati tiada saman RM10,000 dikeluarkan seperti didakwa.
“Kantoi.polis tak ada buka saman. Gara-gara seorang lelaki Cina maklum kepada mak dia, kena saman RM 10,000 denda SOP, terbongkar rahsia apabila polis meminta detail saman tetapi tiada.
“Lelaki Cina tersebut di percayai ingin melepaskan diri dari tanggungjawab hantar duit pada mak lalu menceritakan pada mak dia, beliau telah di saman RM 10,000,” katanya menerusi Facebook.
Mengulas lanjut, Uncle Kentang berkata, beliau telah menerima panggilan video daripada ibu lelaki terbabit memaklumkan hal berkenaan.
“Setelah mak dia menelefon melalui video call jam 11.30 malam dan memarahi saya sebagai aktivis tak lawan saman RM 10,000.
“Saya telah pohon beliau kemukakan salinan saman dan beliau janji keesokan harinya agar kami dapat bantu kurangkan denda.
“Pihak PDRM juga telah membuat press release perkara saman itu tidak benar dan tidak langsung berlaku. Ia hanya satu pembohongan semata mata oleh lelaki Cina untuk elak hantar wang balik untuk emak beliau dengan memberi alasan dia kena saman,” katanya.
Uncle Kentang berkata, dia juga turut ‘terkena’ dengan penipuan lelaki terbabit yang hanya mahu larikan diri daripada memberi wang kepada ibunya sendiri.
Katanya, perkara berkenaan telah dijelaskan dan ibu lelaki terbabit juga memohon maaf.
“Emak lelaki telah menelefon saya untuk meminta maaf. Saya juga menyatakan saya juga tertipu atas fakta yang emak beri pada saya,” katanya.
The post Uncle Kentang Mohon Maaf Pada Polis appeared first on YOY Network.
from YOY Network https://ift.tt/2QQSITz
via IFTTT
0 Response to "Uncle Kentang Mohon Maaf Pada Polis"
Post a Comment