Empat sekeluarga dari Kampung Babong, di Kota Bharu, terpaksa tinggal di kandang kambing yang di ubah suai menjadi rumah kerana kesempitan hidup.
Menerusi laporan Harian Metro, Mohd Azlam Yusof, 26, dan isterinya, Raja Sazila Raja Hanuzi, 24, serta dua anak mereka, Nur Aidyah Syafiqah, 6, serta Amsyar Syazuran, 1, hidup dalam serba kedaifan terutama sejak pandemik yang menyebabkan pendapatan keluarga mereka tidak menentu.
Bangsal yang mereka berteduh pada asalnya adalah kandang kambing, namun disebabkan tidak mampu menyewa kediaman lain menyebabkan empat beranak itu tinggal di bangsal serba usang dengan memindahkan kambing ke kawasan lain.
Raja Sazila berkata, sebelum ini, dia dan suami menumpang rumah ibu mentua sebelum mengambil keputusan berpindah di kandang kambing berkenaan.
“Pada asalnya kandang tu kecil saja namun suami terpaksa mengubah suai dengan membesarkannya sedikit memandangkan kami mempunyai dua anak.
“Sepanjang tinggal di bangsal berkenaan, paling menyedihkan ialah ketika hujan yang mana keseluruhan rumah akan basah menyebabkan kami empat beranak sukar tidur selain keadaan lantai kayu juga hampir reput,” katanya ketika ditemui di rumahnya.
Dia berkata, suami bekerja sebagai tukang rumah dengan pendapatan RM50 sehari, namun sejak pandemik tahun lalu, pendapatan yang diterima tidak menentu menyebabkan ada kalanya mereka terpaksa mengikat perut untuk makan.
“Malah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, suami sudah tidak bekerja sejak beberapa bulan menyebabkan keadaan kami semakin sukar. Jika ada telur sebagai hidangan itu sudah memadai selain kulit ayam juga turut dijadikan lauk bagi mengalas perut.
“Suami tidak mampu untuk menyewa di tempat lain. Maka di sini saja kami terpaksa bertahan, bangsal kami tiada tandas dan setiap kali mandi, kami akan pergi ke rumah ibu mentua selain elektrik juga terpaksa disambung dari rumah mentua.
“Tiada apa yang diharapkan melainkan dapat tempat berteduh yang lebih selesa berbanding sedia ada,” katanya.
Raja Sazila berkata, minggu lalu ada pihak yang hadir dan katanya bersetuju untuk membina rumah buat mereka sekeluarga.
Namun katanya, dia tidak tahu sejauh mana kebenaran itu dan berharap ianya menjadi kenyataan buat mereka sekeluarga.
Sementara itu, Penghulu Mukim Pulau Belanga, Wan Zaidi Wan Jusoh berkata, pihaknya dimaklumkan keluarga berkenaan meminta kepingan zink memandangkan keadaan atap yang bocor setiap kali hujan.
Katanya, barangan berkenaan akan dihantar dalam masa terdekat kepada keluarga berkenaan.
Terdahulu, keluarga berkenaan menerima kunjungan Ketua Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan, Hazmi Hassan yang tampil menghulurkan sumbangan kepada mereka.
Hazmi berkata, pihaknya melalui badan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Amal Harapan Kelantan menyumbang sebuah motosikal kepada Mohd Azlam memandangkan keluarga berkenaan tidak mempunyai kenderaan.
The post Kesempitan Hidup, Keluarga Ini Terpaksa Tinggal di Kandang Kambing appeared first on YOY Network.
from YOY Network https://ift.tt/3x5Cnuq
via IFTTT
0 Response to "Kesempitan Hidup, Keluarga Ini Terpaksa Tinggal di Kandang Kambing"
Post a Comment