Boleh Ke Makan Tiram Mentah-Mentah? Dr Zulkifli Tampil Jelaskan Hukumnya

Siapa tidak ‘familiar’ dengan oyster atau pun tiram yang tular sejak kebelakangan ni bukan?

Oyster ini juga memiliki peminatnya yang tersendiri bahkan ramai yang sanggup beratur panjang demi membeli oyster.

Lebih menarik perhatian adalah, kini ramai peniaga yang menvariasi makanan laut tersebut seperti oyster bakar, oyster cheese dan banyak lagi.

Namun, ada juga yang lebih gemar makan mentah-mentah dan disertakan dengan sos ataupun perahan limau.

Pun begitu, ramai yang masih was-was apakah hukumnya makan oyster yang masih mentah dalam islam?

Baru-baru ini, Datuk Dr Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri tampil menjelaskan perkara tersebut dengan begitu terperinci.

Soalan:

“Assalamualaikum w.b.t. Baru-baru ini saya melihat kawan saya memakan tiram secara mentah-mentah. Soalan saya, bolehkan tiram dimakan secara mentah-mentah, tanpa perlu dimasak terlebih dahulu? Mohon pencerahan. Terima kasih.”

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut.”[1]

Syeikh al-Sa‘di menyebutkan, tatkala haiwan buruan itu merangkumi haiwan buruan darat dan lautan, Allah SWT telah mengecualikan bagi kamu — dalam keadaan kamu sedang berihram — haiwan buruan laut iaitu haiwan laut yang hidup dan makanan yang didapati dari laut iaitu haiwan laut yang sudah mati. Justeru, perkara itu menunjukkan bahawa bangkai haiwan laut adalah halal. Selain itu, faedah kehalalannya itu adalah bertujuan supaya kamu memanfaatkannya dan begitu juga temanmu yang bersama kamu dalam perjalanan turut memanfaatkannya.[2]

Definisi Tiram dan Habitatnya

Dalam Ensiklopedia Dunia dinyatakan, tiram ialah sejenis kerang-kerangan yang terdapat di lautan dan serokan pantai di kawasan beriklim sederhana hingga iklim tropika. Tiram mempunyai badan yang lembut dan boleh dimakan yang terletak di sebelah dalam dua keping cangkerang keras. Cangkerang ini biasanya bertepi tajam dan tidak sekata bentuknya. Tiram hidup di dasar laut berdekatan dengan pantai yang airnya tenang dan tidak dalam.
Tiram adalah antara kerang-kerangan yang paling bernilai.

Tiram di Teluk Parsi dan Lautan Pasifik membentuk mutiara yang digunakan sebagai permata. Manusia memakan tiram sejak beribu-ribu tahun dahulu. Kira-kira pada tahun 43 M., peneroka Rom di England menangkap tiram di sepanjang pantai. Pada musim sejuk, mereka membungkus tiram dalam karung kain dan menghantarnya ke Rom. Kemudian, orang Rom purba menternak tiram di “ladang” dalam perairan di luar pantai Itali. Pada hari ini, banyak tiram diperoleh dari ladang di dasar laut yang biasanya terletak di sepanjang pantai. Seperti kima, kerang, dan beberapa kerang kerangan lain, tiram adalah jenis moluska. Moluska membentuk bahagian utama dalam alam haiwan.

Tiram menghabiskan kesemua hayatnya, kecuali beberapa minggu pertama, di satu tempat di dasar laut. la menggunakan bahan cangkerang yang dihasilkan oleh mantel untuk melekatkan pada batuan atau pada objek-objek lain dalam perairan yang tenang. Bahan cangkerang mengeras dan memegang injap yang lebih besar dengan kuat. Kebanyakan tiram hidup selama kira-kira enam tahun, tetapi sesetengahnya hidup selama 20 tatun.

Anak tiram. Tiram betina boleh mengeluarkan sebanyak 500 juta telur setahun. Telur yang berwarna kekuning-kuningan adalah terlalu kecil sehingga kelompok telur itu kelihatan seperti krim yang pekat. Tiram betina bertelur dengan menyemburkannya ke dalam air di sekitarnya. Tiram jantan mengeluarkan sperma ke dalam air, dan sperma bersatu dengan telur dan mensenyawakannya. Anak tiram menetas kira-kira 10 jam kemudian. Setiap anak tiram adalah kira-kira sebesar mata jarum. Anak tiram menggunakan silia untuk bergerak. Apabila ia berumur 24 jam, ia membentuk cangkerang kecil. Pada peringkat ini, anak tiram dikenali sebagai veliger. Tiram tidak boleh dimakan sehingga beberapa bulan kemudian.

Tiram menghabiskan masa kira-kira dua minggu pertama kehidupannya dengan terapung dan berenang. Pada masa ini, tiram mempunyai “kaki” yang kuat yang menganjur daripada badannya. Tiram menggunakan kaki untuk menguji batuan, cangkerang, dan lain-lain objek keras bagi mencari tempat yang sesuai untuk menetap. Tiram memilih salah satu objek ini dan melekatkan diri padanya. Beberapa tiram boleh melekatkan diri pada batuan yang sama, atau mungkin melekatkan diri dengan satu sama lain.

Tiram sering membentuk kumpulam yang sesak di serokan batuan di sepanjang pantai. Anak tiram sangat cepat membesar. Tiram yang berumur sebulan kira-kira sebesar kacang pis, dan tiram yang berumur setahun kira-kira 2.5 sentimeter diameternya. Tiram membesar kira kira 2.5 sentimeter setahun selama tiga atau empat tahun, dan kemudian membesar dengan lebih perlahan lagi dalam hayat selebihnya. Sesetengah tiram membesar sepanjang 30 sentimeter.

Musuh. Tiram mempunyai banyak musuh, dan tidak mempunyai pertahanan kecuali cangkerangnya. Mungkin manusia adalah musuh terbesar tiram. Mereka menangkap dan memakan berjuta-juta tiram setiap tahun. Ikan mungkin menelan beribu-ribu tiram yang baru menetas dengan sekali telan.

Ketam dan lain-lain haiwan laut memakan anak tiram selepas memecahkan cangkerang baru yang lembut. Tapak sulaiman membuka cangkerang tiram dengan kakinya yang berbentuk tiub dan memakan isinya. Lain-lain musuh tiram termasuk siput gerudi tiram dan sesetengah whelk. Haiwan ini menggunakan giginya bak kikir untuk menggerudi lubang pada cangkerang tiram dan menyedut bahagian yang lembut. Burung yang dikenali sebagai penangkap tiram membuka cangkerang tiram dengan paruhnya yang kuat. Penyakit yang disebabkan oleh virus yang tidak memudaratkan manusia boleh membunuh berjuta-juta tiram dalam setahun.[3]

Hukum makan tiram secara mentah

Pada asasnya tiram termasuk dalam hidupan air yang halal dimakan tanpa perlu kepada sembelihan. Hal ini kerana ia termasuk dalam keumuman firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut.”[4]

Begitu juga, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ

Maksudnya: “Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkainya.”[5]

Terlebih dahulu Imam al-Nawawi ada menyebutkan bahawa sekiranya ditelan ikan yang masih hidup atau ikan yang masih hidup itu dipotong separuh daripadanya, kemudian dimakan. Maka dalam perkara ini, terdapat dua pendapat. Pendapat yang paling sahih ialah makruh dan bukannya haram.[6]

Justeru, kemakruhan tersebut berkemungkinan kembali kepada dua sebab iaitu perbuatan memakannya secara hidup-hidup berkemungkinan menyakiti dan menyeksanya, atau kerana memakannya secara mentah-mentah tanpa dimasak.

Berbalik kepada soalan yang diajukan, memakan daging secara mentah telah menjadi khilaf di antara para ulama kepada dua pendapat. Pertama, mereka yang berpendapat bahawa hukumnya adalah harus. Kedua, mereka yang berpendapat bahawa hukumnya adalah makruh.

Pendapat yang memakruhkan ini, di antaranya merupakan pendapat sebahagian ulama Hanbali seperti yang dinukilkan oleh Ibn Muflih dalam kitabnya, al-Adab al-Sya‘riyyah[7] yang menyatakan bahawa makruh makan daging mentah atau yang tidak dimasak. Sedangkan pendapat yang kedua yang menyatakan harus pula adalah berdasarkan pendapat al-Mardawi dalam kitabnya al-Insaf[8] yang menukilkan pendapat Imam Ahmad yang mengatakan, tidak mengapa memakan daging yang mentah. Pendapat ini adalah pendapat yang rajih kerana tiada nas yang mengharamkannya dan merupakan pendapat yang muktamad dalam mazhab Hanbali.[9] Maka ia menepati kaedah:

الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإِبَاحَةُ

Maksudnya: “Hukum asal pada sesuatu itu adalah harus.”

Selain itu, Imam al-Nawawi juga pernah ditanya mengenai hukum memakan daging mentah dan beliau menjawab dengan menyatakan bahawa hukumnya adalah harus.[10] Sekalipun begitu, perkara ini juga perlu dilihat berdasarkan kesihatan. Dari segi perubatan, pakar kesihatan menyarankan agar makanan mentah hendaklah dimasak bagi mengelakkan keracunan makanan. Hal ini kerana daging mentah mengandungi bakteria seperti E.coli, Listeria monocytogenes dan Campylobacer yang mungkin menyebabkan simptom loya, muntah, cirit birit, demam dan sakit kepala. Bahkan memakan daging mentah boleh mendatangkan bahaya dan penyakit bawaan makanan.

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa memakan tiram secara mentah-mentah adalah makruh. Namun, jika ia boleh memudaratkan kesihatan serta boleh membawa kepada keracunan makanan, maka hukumnya adalah haram. Firman Allah:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke lembah kebinasaan.”[11]

Ayat di atas bermaksud janganlah kamu menyerahkan diri kepada hal-hal yang menyebabkan kebinasaan, akan tetapi lakukanlah untuk diri kamu sebab-sebab yang boleh membawa kepada keselamatan.[12]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

The post Boleh Ke Makan Tiram Mentah-Mentah? Dr Zulkifli Tampil Jelaskan Hukumnya appeared first on YOY Network.



from YOY Network https://ift.tt/phg0Co1
via IFTTT
loading...

0 Response to "Boleh Ke Makan Tiram Mentah-Mentah? Dr Zulkifli Tampil Jelaskan Hukumnya"

Post a Comment