“Bangunlah Hana,” Keputusan SPM Cemerlang, Bapa Sayu Anak Masih Terlantar di ICU

Seorang bapa meluahkan rasa sedih apabila anaknya yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM masih belum sedarkan diri dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Anak saya belum lihat lagi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dia yang cemerlang kerana masih belum sedar daripada kemalangan dua minggu lalu,” kata Mohd Bakri Mohammad, 48, bapa kepada Hana Emyliya Marsyainie, 18.

Keputusan cemerlang SPM

Menerusi laporan Harian Metro, Hana Emyliya terbabit dalam satu kemalangan di Kilometer 20, Jalan Seremban-Tampin, dekat Rembau, 31 Mei lalu dan masih tidak lagi mengetahui keputusan cemerlang, 7A 2B yang diperolehnya dalam SPM.

Pelajar Sekolah Menengah Sains Rembau (Semesra) itu masih belum sedar dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban selepas menjalani tiga pembedahan.

Mohd Bakri berkata, sebelum kemalangan anaknya sememangnya mahu mendapatkan keputusan cemerlang dan dia sememangnya ‘ulat buku’ dalam kalangan mereka sekeluarga.

“Sejak sekolah rendah lagi Hana sudah menunjukkan sikapnya yang aktif sama ada dalam bidang akademik dan sukan terutama olahraga sehinggakan guru juga menyayanginya.

“Pastinya dia sangat gembira jika dia tahu mendapat keputusan yang cemerlang dalam SPM kerana dia mempunyai iltizam yang tinggi untuk berjaya selepas berusaha sepanjang tahun.

“Kami kini berharap semua pihak dapat mendoakan kesembuhan Hana dan hanya menunggu Hana dalam keadaan benar-benar stabil untuk berkongsi berita berkenaan kepadanya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Chembong Utama, di sini, hari ini.

Mohd Bakri yang bekerja di sebuah kilang berulang-alik setiap hari ke hospital bersama isteri dan anak sulungnya, Fathi Nazatul Marsyainie yang terpaksa berhenti kerja di sebuah pasar raya untuk menjaga adiknya di HTJ.

Seorang lagi anak terkorban

Menurutnya, kemalangan itu berlaku pada jam 7.45 malam yang turut mengorbankan seorang lagi anaknya, Muhammad Ikhmal Zaqwan Khan, 15, ketika mendapatkan rawatan di Hospital Rembau akibat pendarahan dalam badan.

“Dialah satu-satunya anak lelaki daripada lima anak saya tetapi Allah lebih menyayanginya. Dia meninggal dunia pada malam itu juga ketika sedang dirawat di Hospital Rembau.

“Walau bagaimanapun saya reda dengan ketentuan Ilahi namun saya berharap agar Hana segera sembuh agar dia dapat menyambung pelajarannya hingga ke peringkat tertinggi,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.45 malam berhampiran Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Chembong itu, Muhammad Ikhmal Zaqwan Khan disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Zon Merah, Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Rembau.

Kakaknya, Hana Emyliya yang membonceng motosikal itu pula kini menjalani pembedahan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di Seremban.

Mahu jadi imam

Menerusi laporan Utusan, Ibu mangsa, Shahida Abd. Ghayas Khan, 49, berkata, dua hari sebelum kejaidan anak tunggal lelakinya itu memberitahu perancangannya untuk berpuasa dan mahu belajar menjadi imam bagi menghadapi 14 hari PKP kali ini.

“Dia kata kawannya selalu gelar dia gemuk, jadi dia mahu berpuasa dan mahu belajar menjadi imam.

“Dia memang anak yang sangat baik, sejak saya sakit di bahagian lutut dan pergerakan terbatas sejak tiga tahun lalu, dia banyak membantu saya memasak dan mengemas rumah.

“Zaqwan juga beritahu saya yang dia mahu saya kongsikan lagi resipi-resipi masakan supaya mudah dia masakkan untuk saya nanti,”

Dalam pada itu, Shahida memberitahu, dia juga berharap agar anak keduanya, Hana Amyliya Marsyainir dapat segera sembuh.

Kerja untuk kumpulduit beli laptop

Jelasnya, anaknya itu yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Rembau, baharu tiga minggu bekerja di kedai kasut berdekatan kediaman mereka bagi mengumpul wang membeli komputer riba sebagai persiapan menyambung pelajaran.

“Saya ada katakan kepada Hana bukan masanya untuk dia bekerja tetapi dia tetap mahu berusaha menggantikan komputer riba lamanya itu dengan menggunakan wang titik peluhnya sendiri,” katanya.

Penunggang motor meninggal dunia

Dalam kemalangan berkenaan, seorang lagi penunggang motosikal, S. Mahesan, 25, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Rembau, Pemangku Deputi Superintenden, Hazri Mohamad, berkata, kemalangan berkenaan membabitkan tiga buah motosikal iaitu dua daripadanya jenis Honda dan sebuah jenis Modenas.

“Berdasarkan siasatan awal, Mahesan menunggang dari arah Seremban menghala ke Rembau. Apabila sampai di tempat kejadian, motosikalnya telah bertembung dengan motosikal yang ditunggang Muhammad Ikhmal Zaqwan Khan yang datang dari arah bertentangan.

“Kemudian datang motosikal ketiga yang ditunggangi dari arah Rembau oleh seorang lelaki berusia 29 tahun menghala ke Seremban tidak sempat mengelak lalu terlanggar objek motosikal yang berada atas laluan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Jelas Hazri, seorang lagi penunggang motosikal terbabit mengalami kecederaan ringan dan dirawat di Zon Hijau, Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Rembau.

Doa dari rakan

Menerusi perkongsian di laman Twitter, rakan-rakan Hana turut sama medoakan kesihatannya.

Pada masa sama, PIBG Sekolah Sains Rembau menerusi laman Facebook turut berkongsi berita duka mengenai Hana.

The post “Bangunlah Hana,” Keputusan SPM Cemerlang, Bapa Sayu Anak Masih Terlantar di ICU appeared first on YOY Network.



from YOY Network https://ift.tt/3zj4lUJ
via IFTTT
loading...

0 Response to "“Bangunlah Hana,” Keputusan SPM Cemerlang, Bapa Sayu Anak Masih Terlantar di ICU"

Post a Comment