Banjir di kawasan pantai timur semakin hari semakin merunsingkan dan ramai yang terpaksa berpindah ke lokasi lebih selamat.
Sama juga dengan seorang pemilik hotel kucing di Pasir Mas, Kelantan yang turut berdepan detik cemas apabila premis perniagaannya dinaiki air sejak sehari lalu.
Memetik laporan mStar, Ahmad Tarmizi Ibrahim dimaklumkan mengenai air yang naik mendadak sekitar 8 malam, Ahad, sebelum membuat pemindahan haiwan pada hari yang sama.
“Staf tutup kedai kami pada pukul 6.30 petang. Pasa masa tu air dah melimpah ke atas jalan. Kami tak jangka ia akan masuk ke dalam kedai kerana kedai agak tinggi.”
“Kemudian dalam pukul 8 malam, ada jiran kedai kami yang berniaga kek maklumkan yang air dah mula masuk kedai. Tapi saya tak dapat pergi segera.”
“Anak sulung saya yang baru dilahirkan ada masalah kesihatan, saya kena pergi klinik dulu. Selesai urusan anak, baru saya pergi selamatkan kucing.”
“Ketika sampai, kucing-kucing semua okay cuma nampak ketakutan. Mujurlah mereka dah panjat atas sangkar,” ujarnya.
Senang disapa Tarmizi, pemilik Boogar Cathouse itu berkata terdapat tujuh ekor kucing dalam premis miliknya dan semua haiwan itu berjaya dibawa pulang ke kediaman keluarganya.
Pada pagi Isnin, dia memindahkan kesemua kucing itu ke kedai sahabatnya, Pawsfection Cat Hotel yang terletak di Pasir Tumboh kerana risau melihat paras air di kawasan kediamannya pada masa ini.
“Mujurlah pelanggan-pelanggan dah ambil kucing. Hanya ada seekor kucing pelanggan yang belum diambil, bersama enam ekor kucing peliharaan saya dalam kedai tu. Total semua tujuh ekor.”
“Saya menaiki pacuan empat roda, bawa semua kucing tu balik ke rumah saya. Kawasan rumah pun air dah mula naik, tapi keadaan masih terkawal. Pagi Isnin, selepas Subuh terus saya hantar ke kedai kawan.”
“InsyaAllah semua okay. Ketika banjir besar tahun 2014 pun kedai kawan saya tak dinaiki air. Harap semuanya selamat,” ujar Tarmizi lagi.
Menurut Tarmizi, dia reda dengan ujian banjir, namun berharap bencana kali ini tidak berpanjangan dan surut secepat mungkin.
“Sebelum ini saya buka bisnes ini secara home base sejak 2019. Kemudian Mac tahun lepas baru saya buka kedai. Baru setahun lebih beroperasi, tiba-tiba banyak rosak akibat banjir. Nanti nak kena mula balik selepas banjir, bisnes pun macam ombak.”
“Tapi saya percaya ada hikmah di sebalik dugaan ini. Harapan saya agar hujan cepat berhenti, harapnya banjir pun surut cepat. Tempat saya okay lagi, tapi tempat lain lagi dahsyat. Harap semuanya selamat,” ujar Tarmizi.
Meninjau di ruangan komen, rata-rata warga netizen simpati dengan nasib mangsa banjir terutamanya yang memelihara haiwan seperti kucing, ayam dan sebagainya.
Bukan itu sahaja, netizen juga sempat menitipkan doa agar semua mangsa banjir kuat menghadapi ujian ini.
Antara komen warga maya:
“Wahai bumi telah lah airmu, dan wahai langit berhentilah dari curahan hujanmu”
“Ni la paling saya takut.. manusia boleh selamatkan diri.. kalau haiwan macam mana..”
“Ni yang tak sanggup nak tengok.. cepat2 la usaha keluarkan mereka dahulu takut air makin naik”
Video yang tular di laman TikTok:
@boogarcathouse doakan abang kuat hadap musibah ni #prayforkelantanterengganu #banjirkelantan2022 #petshopkelantan #pencintakucing ♬ Tasbih Dzikir – IFTAH QULUBANA
The post Pemilik Hotel Kucing Di Kelantan Cemas, 7 Ekor Bulus Di Premis Terperangkap Banjir appeared first on YOY Network.
from YOY Network https://ift.tt/JQUBIw3
via IFTTT
0 Response to "Pemilik Hotel Kucing Di Kelantan Cemas, 7 Ekor Bulus Di Premis Terperangkap Banjir"
Post a Comment